KUALA LUMPUR: Dokumen yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa bukan perjanjian pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bernilai RM8.3 bilion yang dibuat pada Jun lalu.

Sebaliknya, bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyddin Yassin, Datuk Marzuki Mohamad mendakwa dokumen tersebut adalah perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat.

"Dokumen yang disiarkan menerusi kenyataan media Perdana Menteri tidak membuktikan pelupusan hutang peneroka hanya dibuat pada Jun 2023.

"Ia adalah berkenaan penerbitan sukuk berjaminan kerajaan yang memang merupakan sebahagian daripada keputusan Kabinet pada 2020.

"Sesiapa pun yang menjadi Menteri Kewangan mesti menandatangani dokumen ini.

"Seingat saya Tan Sri Muhyiddin tak pernah jadi Menteri Kewangan," katanya dalam kenyataan di akaun Facebooknya pada Khamis.


Mengulas lanjut, Marzuki berkata ketika pentadbiran Muhyiddin, Kabinet pada 14 Oktober 2020 telah meluluskan Pelan Pemulihan Felda termasuk pelupusan 80 peratus hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

"Selain itu, turut terkandung dalam pelan pemulihan berkenaan ialah penerbitan sukuk RM9.9 bilion secara berperingkat untuk tujuan pengambilalihan FGV (FGV Holdings Bhd) dan penyelesaian hutang Felda dengan Maybank dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan penyediaan geran tahunan RM990 juta kepada Felda oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.

Justeru beliau menambah untuk mengelakkan keraguan mengenai keputusan Kabinet pada 14 Oktober 2020 yang telah melupuskan hutang peneroka Felda, kerajaan disarankan "declassify" minit mesyuarat Kabinet tersebut untuk tatapan rakyat.

Anwar hari ini mengemukakan sebahagian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait jaminan kerajaan Felda yang telah ditandatanganinya.

Dokumen berkenaan didedahkan susulan tuntutan Muhyiddin dalam surat bertarikh 18 Julai menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership.

Bekas Perdana Menteri itu antara lain Anwar menarik balik semua kenyataan fitnah tersebut dan memadamkan semua penyiaran kenyataan fitnah dalam tempoh 24 jam selepas menerima surat berkenaan.